Search This Blog

Friday, December 2, 2011

Mengapa kita perlu bertaubat...

Hidup di dunia memerlukan perjuangan. Dalam berjuang kita sedar bahawa kematian boleh datang secara tiba-tiba tidak mengira sama ada orang itu Islam atau tidak Islam, sama ada orang itu sedang mengingat Tuhan atau sedang membuat maksiat dihadapan Tuhan.

Manusia ini apabila ada sifat lalai dan pelupanya mereka tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan yang melanggar perintah Allah. Samada dia tidak melakukan perintah Allah atau dia melakukan larangan Allah. Sesungguhnya tiada manusia maksum kecuali Nabi Muhammad saw. Oleh itu apabila telah manusia bersalah maka dia telah berdosa dan perlu bertaubat segera kepada Allah swt kerana tidak tahu sampai bila dia boleh hidup.

Dalam melakukan taubat, sesorang itu perlulah sedar dan insaf bahawa dia telah melakukan dosa sehingga melayakkan dia dimurkai oleh Allah swt. Oleh itu dia perlu segera melakukan taubat agar tidak terus menerima laknat dari Allah. Dosa itu mungkin sahaja dosa besar dan mungkin sahaja dosa kecil. Walaupun dosa besar atau dosa kecil maka dia masih sahaja perlu bersungguh-sungguh bertaubat. Dia menyesal dan tidak mahu melakukan dosa-dosa itu lagi dengan bersungguh-sungguh.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Setiap anak cucu Adam adalah pelaku dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Maksud dosa ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT di mana telah ditentukan hukumannya di dunia dan dikenakan ancaman azab neraka di akhirat seperti menduakan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, mencuri, berzina, bercakap bohong, membuat zalim dan lain-lain, yang memang telah terkandung di dalam al-Quran atau pun hadis Rasulullah SAW. Tidak melakukan perkara wajib umpamanya solat fardu dan puasa Ramadhan juga dikira sebagai berdosa.

Sekiranya telah menyedari diri sudah melakukan dosa, maka perlulah segera menyucikan diri memandangkan Rasulullah SAW yang walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetapi telah melakukan taubat lebih 70 kali dalam sehari semalam.

SabdaRasulullah SAW yang bermaksud : "Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) dan bertaubat kepada Allah setiap hari lebih 70 kali." (Hadis riwayat Bukhari)

Malangnya sebilangan besar masyarakat Islam dunia hari ini leka dengan hiburan dunia sehingga melakukan maksiat dan sedikit pun tidak rasa bersalah. Ada yang begitu berbangga mengikut cara hidup orang bukan Islam yang terang-terang melakukan maksiat menyalahi perintah Allah. Hal ini diungkapkan Asy-Syekh Husein Yusuf Ghazzal : "Dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sewenang-wenangnya berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mempedulikan syariat agama dan norma etika."

Hal ini berlaku kerana masyarakat Islam memiliki iman yang lemah bila mereka tidak dekat al-Quran dan Sunah Nabi. Mereka mudah menurut telunjuk nafsu sementara pengetahuan selok-belok ajaran Islam ternyata begitu cetek bahkan ada yang tiada langsung pengetahuannya.Sesungguhnya melakukan kemaksiatan hanya menghancurkan keperibadian seorang Muslim dan melemahkan perpaduan umat Islam.

Ulama berkata: "Sesungguhnya kemaksiatan itu berjalan menuju kekufuran. Manusia berpindah dari satu bentuk kemaksiatan kepada kemaksiatan berikutnya, sampai akhirnya dia keluar dari agamanya."

Sesungguhnya orang yang segera bertaubat secara benar dan bersungguh-sungguh adalah orang yang memahami bahawa taubat itu satu kewajipan ditentukan agama serta mencerminkan keimanan yang menebal.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sungguh-sungguh." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, membuka seluas-luasnya pintu taubat dan rahmat Nya kepada hamba-Nya yang berdosa dan ingin bertaubat. Allah SWT sentiasa menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang." (Surah al-Maidah, ayat 39)

Malangnya, tidak ramai di kalangan kita yang mahu merebut peluang itu bahkan, taubat dipandang ringan saja. Setiap kali ditanya, mereka rata-rata menjawab akan bertaubat apabila sampai usia tua nanti atau apabila dia betul-betul bersedia mahu bertaubat.

Mereka sebenarnya memberi jawapan yang tidak benar apabila mereka sebenarnya berpegang pada dahan yang rapuh memandangkan mereka tidak tahu bila ajal mereka dan boleh sahaja mati tiba-tiba tanpa menunggu usia tua. Oleh itu, segeralah bertaubat kerana itu adalah perbuatan yang bijak dan terpuji.

Nasihat Luqman Hakim kepada anaknya : "Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu."

Maka lakukan taubat segera tanpa tangguh-tangguh kerana hukum melakukan taubat itu adalah wajib. Bertaubatlah sekarang sebelum pintunya dikatup rapat oleh Allah SWT.

Mengikut keterangan hadis Nabi saw, pintu taubat akan ditutup bila terjadinya perkara-perkara berikut :

l. Matahari naik sebelah barat.

Perkara ini dinyatakan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat jahat di waktu malam, membuka tangan selebar-lebarnya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan maksiat waktu siang. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat." (Hadis riwayat Muslim)

2. Apabila nyawa sampai di kerongkong (nazak)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya Tuhan bersedia menerima taubat seseorang hamba selagi nyawanya belum sampai di kerongkong (sebelum nazak)."

Untuk melakukan taubat nasuha, Islam menunjukkan syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyesal dengan perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati, berhenti serta merta melakukan perbuatan itu, berazam tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Jika membabitkan orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

Apabila kita melakukan taubat ikhlas kerana Allah SWT, bermakna kita bersih daripada dosa itu, dipelihara dan dikasihi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Allah SWT juga berjanji akan menempatkan orang bertaubat dalam syurga yang penuh kenikmatan, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Apabila melakukan dosa maka itu akan menyebakan adanya tompok hitam di hati. Apabila bertaubat maka Allah akan menghapuskan tompok hitam tersebut. Tidak bertaubat akan menyebabkan hati menjadi hitam bila banyak tompok hitam di atasnya. Hati yang bertompok hitam akan menghalang hidayah petunjuk Allah sampai ke dalam hati. Kerana itu untuk mendapatkan petunjuk Allah maka hati perlu bersih dan dia boleh dibersihkan melalui taubat.

Oleh itu, marilah kita segera bertaubat dalam mencari keredaan Allah. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang dikasihidan dirahmati Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.

3 comments:

  1. alhamdullilah astagfirullah subhanallah assalammualaikum waalaikumsalam allahuakhbar bismillah amin ya allah ku

    ReplyDelete