Search This Blog

Tuesday, November 15, 2011

Kepada Pengemar Kucing



Sesungguhnya binatang kesayangan Nabi Muhammad saw adalah kucing. Baginda sanggup bersusah payah bangun dari tidurnya di tengah malam apabila baginda terdengar ada kucing mengeow di luar rumahnya mahu menumpang masuk tidur ke dalam rumahnya.

Terdapat kisah yang menceritakan betapa Nabi saw mempunyai akhlak yang sangat mulia apabila bukan sahaja baginda berbuat baik dengan manusia tetapi juga dengan binatang termasuklah kucing. Dikisahkan bahawa Nabi Muhammad saw membela seekor kucing yang baginda panggil namanya dengan nama Mueeza. Dipeliharanya Meeza dengan baik dan tiadalah dizalimi kucing peliharaannya itu. Sekiranya Mueeza tidur di tempat yang sepatutnya baginda bersolat maka tidaklah baginda mengalih kucing tersebut tetapi sebaliknya baginda mencari tempat lain bagi melakukan solat.

Pada suatu hari, Baginda mahu keluar lalu mahu mengambil jubah pakaian luarnya. Dilihatnya Mueeza sedang tidur di atas jubah tersebut. Seperti biasa tiadalah baginda mengejutkan kucing kesayangannya itu sebaliknya memotong lengan jubah yang ditiduri oleh Mueeza. Sekembalinya Nabi Muhammad saw ke rumahnya maka Mueeza telah bangun dari tidurnya lalu dia mengesel-ngesel akan insan yang selalu menyayanginya. Membalas perbuatan kucingnya itu maka Nabi saw penuh kasih sayang telah mengurut lembut belakang kucingnya itu sebanyak 3 kali.

Nabi saw tidak malu bermain-main dengan kucingnya itu bila sewaktu menerima kunjungan para tetamu ke rumahnya maka digendongnya Mueeza lalu ditaruhnya di atas pehanya apabila baginda duduk. Apabila azan dialunkan maka mengeowlah si Mueeza bersama-sama dengan alunan azan tersebut. Nabi berpesan kepada sahabat dan para pengikutnya supaya menyayangi kucing seperti mana mereka menyayangi ahli keluarga sendiri.

Sebuah kisah yang diriwayatkan dalam hadis sahih al-Bukhari menceritakan bahawa seorang perempuan tua telah mengurung kucingnya tanpa diberi makan sehingga akhirnya kucing yang dikurung itu mati. Nabi saw menjelaskan bahawa wanita itu akan di azab dengan api neraka kelak sebagai pengajaran kepada pengikutnya agar tidak berbuat zalim kepada bintatang terutama kucing.

Nabi saw menyuruh pengikutnya melihat kucing kerana ada pengajaran yang dibawa oleh kucing. Beberapa orang ahli keluarga dan sahabat Nabi saw juga sukakan kucing umpamanya isterinya Aisyah binti Abu Bakar, yang kerinduan pada kucingnya di kala kucing tersebut tiada di sisinya. Seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abdul Rahman bin Sakhr al Azdi diberi gelaran Abu Hurairah yang bermaksud bapa kucing. Abdul Rahman ini amat sayangkan kucing sehingga dia banyak memelihara dan merawat kucingnya di rumah.

Pada suatu hari, seekor anak kucing yang sakit dimasukkan ke dalam lengan bajunya lalu di bawanya bersama-sama ketika ada perjumpaan dengan Nabi saw. Apabila Nabi Muhammad saw menyedari ada kucing di dalam lengan baju Abdul Rahman maka sejak waktu itu maka digelarnya Abdul Rahman dengan panggilan Abu Hurairah. Abu Hurairah inilah yang banyak menghafal hadis Nabi saw.

Sesungguhnya banyak kebaikan berlaku apabila diri menyayangi kucing. Maka sayangilah kucing.



No comments:

Post a Comment