Search This Blog

Thursday, November 24, 2011

Makna Hijrah...


Setiap tahun kita akan menyambut tahun baru. Jika mengambil kira pusingan lengkap peredaran bumi mengelilingi matahari maka kita akan menyambut Tahun Masehi. Jika kita mengambil kira pusingan lengkap peredaran bulan mengelilingi bumi sebanyak 12 pusingan maka kita akan menyambut Tahun Hijrah. Jika tahun Masehi mengambil semperna nama Nabi Isa as iaitu Isa al-Maseh dan dikira dari bermulanya tahun kelahirannya maka dari manakah pula nama Hijrah ini muncul sedangkan nama Nabi orang Islam adalah Muhammad bin Abdullah.


Sesungguhnya ‘Hijrah’ bermaksud ‘pindah’. Permulaan menggunakan kalender Tahun Hijrah dilakukan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, iaitu khalifah ke dua setelah Nabi saw wafat. Pengiraan tahun Hijrah diambil semperna peristiwa di mana nabi Muhammad saw berhijrah iaitu berpindah dari Makkah ke Madinah dan ianya dikira dari bermulanya tahun berlakunya peristiwa itu.


Sesungguhnya peristiwa penghijrahan Nabi saw ini membawa makna yang besar kepada orang Islam di mana ianya bukan semata-mata berlaku agar Nabi saw tidak dibunuh oleh kafir Quraisy Makkah tetapi juga sebagai renungan dan pengajaran kepada penganut Islam semenjak berlakunya hijrah itu sehinggalah kepada ketika hampir berlakunya kiamat kelak.


Maka apakah istimewanya Hijrah itu? Kisah Hijrah tidak akan lengkap jika tidak menyentuh tentang perjuangan seorang insan yang bernama Muhammad bin Abdullah, Nabi orang Islam. Mungkin ramai yang mendengar bahawa kononnya Islam ini dikembangkan dengan pedang Baginda? Benarkah? Manakah buktinya? Adakah dengan adanya peperangan di antara orang kafir dengan orang Islam maka itu menandakan bahawa orang Islam itu ganas? Mana logik akal jika penyebab peperangan itu tidak diambil kira? Sekiranya kita dizalimi adakah kita hanya mendiam diri tidak membantah?


Jika orang Islam suka berperang maka mengapa selama 13 tahun mereka hidup dizalimi, diseksa dan dibunuh oleh kafir Quraisy di Makkah, mereka tidak membalas? Mengapa? Adakah mereka begitu lemah hingga tidak mampu membalas perbuatan orang yang melampau ke atas diri mereka. Mereka tidak lemah. Mereka tidak membalas perbuatan orang Quraisy yang menzalimi mereka kerana tiadanya perintah dari Allah, Tuhan mereka, yang membenarkan mereka melawan. Mereka bersabar mengikut perintah Tuhan. Inilah kelebihan orang islam kerana mereka akan membuat apa sahaja mengikut perintah Tuhan mereka walaupun pada awalnya perintah itu kelihatannya akan membinasakan mereka.


Orang Islam berperang setelah mendapat perintah Allah menyuruh mereka berperang bagi mempertahankan diri dari terus dizalimi oleh orang-orang yang zalim itu. Maka setelah 2 tahun Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah maka barulah peperangan berlaku. Sesungguhnya seboleh-bolehnya Nabi Muhammad saw cuba mengelakkan para pengikutnya dizalimi dan dibunuh sewenang-wenangnya oleh orang-orang kafir Quraisy. Oleh itu diperintahkan para pengikutnya di Makkah berpindah ke Madinah, kota yang akan memberikan perlindungan kepada mereka. Dengan melakukan hijrah itu maka mereka dapat mengelakkan diri mereka dari terus dizalimi oleh kafir Quraisy tanpa perlu mereka berperang dengan orang yang menzalimi diri mereka.


Apabila semua para pengikut nabi saw telah sampai ke Madinah dan hanya tinggal mereka yang tidak mampu berpindah maka barulah Allah perintahkan Nabi Muhammad saw pula berpindah. Malangnya tidaklah mudah Nabi Muhammad saw mahu berpindah apabila dia dihadang oleh orang-orang Quraisy yang mahu membunuhnya. Dengan petunjuk dan pertolongan dari Allah maka Nabi Muhammad saw dapat memboloskan diri dari kepungan para pemuda Quraisy yang ditugaskan menetaknya secara serentak dengan pedang masing-masing.


Bersama dengan sahabat karibnya yang paling baginda sayangi maka berjalanlah Nabi Muhammad saw dengan Abu Bakar as-Shiddiq dalam kegelapan malam bagi bersembunyi di gua Thur yang terletak di selatan Makkah sedangkan Madinah di utara Makkah. Jalan yang mereka pilih amat payah memandangkan mereka mengelakkan diri dari bertembung dengan orang ramai.


Ketika dalam perjalanan inilah banyak pertolongan dari Allah telah diberikan kepada kekasih Nya itu sehingga dapat menghalang baginda ditangkap dan dibunuh oleh orang kafir Quraisy yang nekad mahu membunuhnya. Pada 12 Rabiul Awal, baginda sampai di Quba yang tidak jauh dari Madinah. Setelah 3 hari berada di Quba maka baginda meneruskan perjalanan ke Madinah, yang ketika itu dipanggil Yathrib.


Sesungguhnya kedatangan Nabi Muhammad saw amat dialu-alukan oleh orang-orang Madinah. Mereka menunggu kedatangan nabi yang akan membimbing mereka sebaik sahaja mereka mendengar nabi mereka telah bertolak dari Makkah. Setiap hari, sejak subuh-subuh lagi mereka telah menunggu di pintu masuk Madinah tanpa mempedulikan panas terik matahari. Sebaik mereka melihat Nabi saw menghampiri mereka, maka mereka memukul rebana dan menyanyikan lagu alu-aluan bagi menandakan mereka amat gembira menerima kedatangan Nabi saw. Semenjak penghijrahan Nabi saw maka Islam berkembang mekar di Madinah sehingga akhirnya merebak ke seluruh dunia.


Sesungguhnya penghijrahan Nabi saw bersama pengikutnya dari Makkah ke Madinah membawa pengajaran kepada manusia betapa mereka perlu melakukan perpindahan baik secara rohani mahupun jasmani sekiranya dia merasa dirinya dizalimi baik oleh orang lain mahupun oleh dirinya sendiri. Seorang yang menzalimi diri sendiri adalah orang yang tidak mahu mengikut perintah Allah manakala orang yang membiarkan dirinya dizalimi orang lain adalah orang yang tidak boleh melakukan kebaikan kepada dirinya apabila ada orang lain menghalangnya dari membuat kebaikan itu.


Oleh itu, semua orang Islam perlu berhijrah dari keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik dengan niat kerana Allah. Tidak melakukan penghijrahan hanya akan menzalimi diri sendiri baik di dunia mahupun di akhirat. Maka sebaiknya penghijrahan dilakukan bila-bila sahaja apabila sebaik sahaja ada niat mahu berubah. Jangan ditunggu untuk melakukan hijrah pada awal tahun sahaja memandangkan kita tidak tahu sampai bila umur kita ada. Nabi saw pernah mengingatkan para pengikutnya agar berusaha sebaik mungkin baik untuk urusan dunia mahupun akhirat dan perlu berusaha agar hari esok perlu lebih baik dari hari itu. Seorang yang mempunyai hari yang lebih teruk dari semalamnya dikatakan seorang yang celaka.


Maka, Selamat Berhijrah… :-)

No comments:

Post a Comment