Search This Blog

Tuesday, December 20, 2011

Misteri binaan piramid terjawab


Artikel ini saya kongsikan dari http://lamankongsi.blogspot.com/2011/12/misteri-binaan-piramid-terjawab.html bagi menunjukkan betapa ilmu al-Quran yang dibacakan oleh Nabi Muhammad saw 1430 tahun dahulu adalah benar. Ianya selari dengan sains dan sejarah.



Sekian lama para saintis kehairanan tentang penjelasan bagaimana cara sebuah piramid yang menjadi antara binaan ajaib dunia dibina. Hal ini kerana teknologi bagi mengangkat batu-batuan besar mencapai ribuan kilogram ke puncak-puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?


Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun menggunakan tanah liat untuk membina piramid! Menurut kajian tersebut disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah tanah liat yang dipanaskan hingga membentuk batu keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Al-Quran Ternyata Lebih Dulu Punya Jawapan
Jika difahami lebih dalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan hal ini 1400 tahun sebelem mereka mendedahkannya, perhatikan sebuah ayat dalam Al Quran yang berikut:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

"Dan berkata Fir'aun: 'Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta. "(Al-Qasas: 38)

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat hingga menjadi batu. Dan teknik tersebut menjadi hal yang sangat rahsia jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug, dan Michel Profesor Barsoum menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, terbuat dari dua jenis batu: batu alam dan batu-batu yang dibuat secara manual alias olahan tanah liat.

Dan dalam kajian yang diterbitkan oleh majalah "Journal of American Ceramic Society" menegaskan bahawa Firaun menggunakan jenis tanah slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram. Sementara untuk dasarnya, Firaun menggunakan batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur di tungku api yang dipanaskan dengan wap air garam dan berjaya membuat wap air sehingga membentuk campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diolah mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.



Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut dan mencari jejak reaksi segera yang menegaskan bahawa batu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu membezakan antara batu alam dan batu buatan.

Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan dari rahsia di balik pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Ia pun berkata, "Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang saya baru yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir dibuat dengan menggunakan tanah liat."



Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits soal batu-batu piramid yang ternyata terbuat dari olahan lumpur ini memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang lama tentang piramid Bosnia, "Piramid Matahari" dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat! Ini menegaskan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu. (Gambar dari batu piramid).



Sebuah gambar yang digunakan dalam casting batu-batu kuno piramid matahari mengalir di Bosnia, dan kebenaran sains mengatakan bahawa sangat jelas bahawa kaedah tertentu pada tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenal sejak ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Romania atau Firaun!


Subhanallah! bukti menakjubkan yang menunjukkan bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun tinggi saat itu, juga dibina dari tanah liat! Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan para Ilmuwan Amerika dan Perancis.

Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa Nabi saw ribuan tahun yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat dan panas untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.

Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, berbilang tahun selepas Berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kelak dinamakan Piramid menggunakan TANAH LIAT.

Kenyataan ini sangat jelas dan kuat membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara sesuai hawa nafsunya saja melainkan petunjuk dari Allah yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa ... Dan Dia pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.

Friday, December 16, 2011

Mengapa perlu percaya dan yakin al-Quran


Ramai orang percaya dan yakin kepada al-Quran tetapi lebih ramai tidak percaya dan yakin kepada Al-Quran. Mengapa mereka tidak percaya dan yakin kepada al-Quran? Banyak jawapan telah diberi di antaranya al-Quran itu cuma rekaan Nabi Muhammad saw, sukar menerima ilmu yang terkandung di dalamnya dan pelbagai lagi. Walaupun banyak jawapan diberi namun semua jawapan itu berpaksi bahawa mereka tidak yakin bahawa hanya Allah, Tuhan Yang Satu layak disembah.

Ada di antara mereka yang mengingkari al-Quran ini mengambil patung-patung sebagai sembahan mereka dengan alasan itu hanya perantaraan. Ada yang mengambil manusia sebagai tuhan bersama dengan Allah. Mereka dalam sedar atau tidak sedar telah mengambil tuhan lain selain Allah. Andai mereka mempunyai ilmu tentang Allah pasti mereka tahu bahawa Allah itu Tuhan Yang hanya satu, tidak diperanakan dan tidak memperanakan. Tiada Tuhan yang bersama Allah bila Allah tidak mahu ada tuhan lain disembah bersama dengan diri Nya.

Oleh itu untuk mengetahui akan sikap Allah dan keinginan Allah kepada manusia maka Allah telah berkata-kata memberitahu akannya di dalam al-Quran. Oleh itu seorang manusia yang menyakini bahawa dirinya berada di bawah kekuasaan Allah perlu mempercayai dan yakin kepada Al-Quran. Gagal mengikut al-Quran hanya akan menyusahkan manusia di dunia dan di akhirat. Mereka yang Allah murkai akan dibalas dengan neraka yang penuh azab sengsara manakala mereka yang Allah kasihi akan dibalas dengan Syurga yang penuh nikmat.

Oleh itu bagi mendapatkan kasih sayang Allah di dunia dan di akhirat mereka patut mengambil al-Quran sebagai panduan hidup mereka di dunia. Mereka yang tidak mahu menerima al-Quran hanyalah kerana mereka yang tidak mahu. Andai mereka mahu maka Allah akan memberi petunjuk hidayah Nya kepada mereka. Pada mereka yang tidak mahu maka mereka akan tetap berada dalam keadaan tiada berilmu dan murka Allah hingga ke akhirat sana. Semoga kita tidak berada di kalangan manusia yang dimurkai oleh Allah.

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya." (Al-Quran : Surah Az-Zumar, ayat 23)

Tuesday, December 6, 2011

Pemanasan Global mengakibatkan bencana besar

Hari kiamat berlaku apabila Tuhan murka kepada manusia apabila manusia membuat kerosakan di atas muka bumi terutama mengingkari perintah Nya. Tiadalah Hari Kiamat itu berlaku secara tiba-tiba. Dengan kasih sayang Tuhan maka diberitahu Nya akan adanya murka Nya kepada manusia melalui alam ini. Pemanasan Global adalah salah satu tanda menjelang hari akan kiamat . Berikut adalah 10 bencana disebabkan oleh Pemanasan Global.


1. Ais mencair - Kutub utara dan selatan yang merupakan daratan yang dibuat dari ais akan mencair secara besar-besaran apabila suhu bumi kini bertambah panas. Ais di puncak gunung yang tinggi juga akan mencair. Pada tahun 1990- 2005, suhu bumi naik 0.15 - 0.3 darjah Celcius. Pencairan ais menyebabkan paras air laut semakin meningkat.


2. Pulau Tenggelam - Akibat pencairan ais yang menyebabkan paras air laut meningkat telah menyebabkan beberapa buah pulau di Indonesia, Amerika Syarikat dan Bangladesh mengalami ancaman akan tengelam. Terdapat beberapa buah pulau di Indonesia telah tenggelam dan hilang dari permukaan laut. Selain dari pencairan ais, faktor lain yang menyebabkan aras laut naik juga disebabkan semakin kurangnya hutan yang dapat menahan air dari terus lari masuk ke laut. Jika suhu bumi terus meningkat, menjelang tahun 2050 banyak tempat akan hilang dan ada terendam dengan air.


3. Banyak berlaku ribut dan puting beliung - Ribut sememangnya adalah kejadian alam yang biasa berlaku. Malangnya apabila bumi semakin panas maka tekanan bumi berada dalam keadaan tidak seimbang sehingga menyebabkan ribut atau puting beliung berlaku secara tiba-tiba. Oleh itu banyak kejadian ribut dan puting beliung telah berlaku di tempat yang dulunya tiada. Sehingga kini banyak ribut besar telah melanda negara-negara di Eropah, Amerika dan seluruh dunia sehingga merangut banyak nyawa di antarannya ribut Katrina dan ribut Ike dan ribut Rita.


4. Gelombang Panas - Pada tahun 2003, Eropah telah diserang gelombang panas atau heat wave. Kejadian ini telah meragut ramai nyawa manusia. Bencana ini sudah dijangkakan oleh para ilmuwan sejak tahun sejak tahun 1900 lagi. Gelombang panas memang pernah terjadi beberapa kali di bumi ini namun kebelakangan ini kejadiannya semakin sering terjadi. Dalam kiraan para ilmuan, 40 tahun lagi frekuensinya akan meningkat sebanyak 100 kali lipat.


5. Kekeringan yang melampau di Afrika, India dan daerah-daerah kering lainnya - Daerah yang dilanda panas ini akan menyebabkan para penghuninya menderita kekeringan dan tiada bekalan air minum. Bintatang ternakan dan tanaman pertanian tidak dapat diusahakan sehingga mengakibatkan mereka juga mengalami krisis makanan. Menurut perkiraan, hasil tani negara-negara Afrika akan menurun 50% di tahun 2020 dan tingkat kekeringan di dunia meningkat 66% .


6. Perang banyak berlaku - Apabila keadaan fizikal semakin menekan maka manusia berubah menjadi panik lalu tidak berfikir panjang melancarkan serangan kepada individu yang lain atau negara yang lain. Ada di antara mereka berperang dengan sebab yang tidak jelas atau sebab kecil sahaja. Terdapat negara yang mahu menjajah negara lain sebab tamak dan gilakan harta dunia.


7. Penyakit bermaharaja lela - Akibat kekurangan makanan dan minuman maka kesihatan manusia merundum apabila daya ketahanam diri mereka berkurang atau telah tiada lagi. Selain itu akibat agama tidak dipegang kuat telah menyebabkan manusia terjebak dalam cara hidup yang tidak sihat sehingga menyebabkan penyakit merbahaya umpamanya Aids merebak cepat. Banjir yang melanda disebabkan kenaikan paras laut juga telah menyebabkan penyakit mudah menular bukan sahaja di kawasan tropika tetapi juga kawasan yang beriklim sejuk.


8. Ekosistem porak peranda - Perubahan iklim yang terjadi akibat pemanasan global akan menyebabkan ekosistem yang ada menjadi kucar kacir. Sebahagian makhluk hidup di bumi musnah akibat bencana kekeringan, banjir, ribut atau ditenggelamkan air laut. Makhluk yang masih hidup pula akan mengalami kesulitan untuk terus hidup. Penyebabnya adalah berkurangnya sumber air, udara bersih, bahan bakar, sumber tenaga, bahan makanan, obat-obatan dan lain-lain keperluan yang diperlukan untuk terus hidup.


9. Makhluk hidup banyak mati - Sebanyak 30% makhluk hidup yang ada kini bakal musnah menjelang tahun 2050 sekiranya suhu bumi terus naik. Spesies yang pupus kebanyakan yang tinggal di tempat yang beriklim sejuk. Haiwan-haiwan laut banyak mati apabila suhu air laut meningkat menjadi lebih panas sehingga mereka tidak tahan lalu mati. Sekiranya tumbuhan dan haiwan semakin berkurang, maka manusia juga akan terjejas dan terancam apabila keperluan untuk mereka hidup semakin berkurangan.

10. Ekonomi dunia menjadi kacau bilau - Apabila makanan dan segala keperluan manusia semakin berkurang maka ekonomi dunia menjadi tidak stabil. Bukan sahaja iklim menekan mereka bahkan mereka juga menekan di antara mereka sendiri apabila perang berlaku di mana-mana. Segala keperluan sukar didapati dan menyebabkan harganya melambung naik. Manusia yang menghadapi penyakit dan lemah tidak mungkin dapat bertahan lama dan tidak mungkin dapat membangunkan ekonominya semula. Mereka yang kaya akan menindas yang miskin. Tempat yang dilanda bencana alam sukar mahu dipulihkan semula. Oleh itu, di kala itu dunia menjadi huru hara bila undang-undang Tuhan semakin ditolak ketepi.

Kini dunia semakin mengalami pemanasan global. Manusia pula semakin membutakan mata dan memekakkan telinga apabila mereka semakin rakus menggondolkan bumi dari pokok-pokok yang ada tanpa menggantikannya dengan yang baru dan mengeluarkan gas yang tidak sesuai untuk alam. Sekiranya mereka taat kepada Tuhan iaitu Allah pemilik sekalian alam ini pasti mereka akan berbuat baik kepada alam ini dan tiadalah berlakunya pemanasan global ini. Maka tidakkah kita ini manusia yang berfikir?

Ayat cinta Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud : "Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya. Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: “Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?” (Bagi menjawab mereka, Nabi Muhammad) berkata: “Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan (yang dilahirkan atau disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan di bumi; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Friday, December 2, 2011

Mengapa kita perlu bertaubat...

Hidup di dunia memerlukan perjuangan. Dalam berjuang kita sedar bahawa kematian boleh datang secara tiba-tiba tidak mengira sama ada orang itu Islam atau tidak Islam, sama ada orang itu sedang mengingat Tuhan atau sedang membuat maksiat dihadapan Tuhan.

Manusia ini apabila ada sifat lalai dan pelupanya mereka tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan yang melanggar perintah Allah. Samada dia tidak melakukan perintah Allah atau dia melakukan larangan Allah. Sesungguhnya tiada manusia maksum kecuali Nabi Muhammad saw. Oleh itu apabila telah manusia bersalah maka dia telah berdosa dan perlu bertaubat segera kepada Allah swt kerana tidak tahu sampai bila dia boleh hidup.

Dalam melakukan taubat, sesorang itu perlulah sedar dan insaf bahawa dia telah melakukan dosa sehingga melayakkan dia dimurkai oleh Allah swt. Oleh itu dia perlu segera melakukan taubat agar tidak terus menerima laknat dari Allah. Dosa itu mungkin sahaja dosa besar dan mungkin sahaja dosa kecil. Walaupun dosa besar atau dosa kecil maka dia masih sahaja perlu bersungguh-sungguh bertaubat. Dia menyesal dan tidak mahu melakukan dosa-dosa itu lagi dengan bersungguh-sungguh.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Setiap anak cucu Adam adalah pelaku dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Maksud dosa ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT di mana telah ditentukan hukumannya di dunia dan dikenakan ancaman azab neraka di akhirat seperti menduakan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, mencuri, berzina, bercakap bohong, membuat zalim dan lain-lain, yang memang telah terkandung di dalam al-Quran atau pun hadis Rasulullah SAW. Tidak melakukan perkara wajib umpamanya solat fardu dan puasa Ramadhan juga dikira sebagai berdosa.

Sekiranya telah menyedari diri sudah melakukan dosa, maka perlulah segera menyucikan diri memandangkan Rasulullah SAW yang walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetapi telah melakukan taubat lebih 70 kali dalam sehari semalam.

SabdaRasulullah SAW yang bermaksud : "Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) dan bertaubat kepada Allah setiap hari lebih 70 kali." (Hadis riwayat Bukhari)

Malangnya sebilangan besar masyarakat Islam dunia hari ini leka dengan hiburan dunia sehingga melakukan maksiat dan sedikit pun tidak rasa bersalah. Ada yang begitu berbangga mengikut cara hidup orang bukan Islam yang terang-terang melakukan maksiat menyalahi perintah Allah. Hal ini diungkapkan Asy-Syekh Husein Yusuf Ghazzal : "Dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sewenang-wenangnya berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mempedulikan syariat agama dan norma etika."

Hal ini berlaku kerana masyarakat Islam memiliki iman yang lemah bila mereka tidak dekat al-Quran dan Sunah Nabi. Mereka mudah menurut telunjuk nafsu sementara pengetahuan selok-belok ajaran Islam ternyata begitu cetek bahkan ada yang tiada langsung pengetahuannya.Sesungguhnya melakukan kemaksiatan hanya menghancurkan keperibadian seorang Muslim dan melemahkan perpaduan umat Islam.

Ulama berkata: "Sesungguhnya kemaksiatan itu berjalan menuju kekufuran. Manusia berpindah dari satu bentuk kemaksiatan kepada kemaksiatan berikutnya, sampai akhirnya dia keluar dari agamanya."

Sesungguhnya orang yang segera bertaubat secara benar dan bersungguh-sungguh adalah orang yang memahami bahawa taubat itu satu kewajipan ditentukan agama serta mencerminkan keimanan yang menebal.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sungguh-sungguh." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, membuka seluas-luasnya pintu taubat dan rahmat Nya kepada hamba-Nya yang berdosa dan ingin bertaubat. Allah SWT sentiasa menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang." (Surah al-Maidah, ayat 39)

Malangnya, tidak ramai di kalangan kita yang mahu merebut peluang itu bahkan, taubat dipandang ringan saja. Setiap kali ditanya, mereka rata-rata menjawab akan bertaubat apabila sampai usia tua nanti atau apabila dia betul-betul bersedia mahu bertaubat.

Mereka sebenarnya memberi jawapan yang tidak benar apabila mereka sebenarnya berpegang pada dahan yang rapuh memandangkan mereka tidak tahu bila ajal mereka dan boleh sahaja mati tiba-tiba tanpa menunggu usia tua. Oleh itu, segeralah bertaubat kerana itu adalah perbuatan yang bijak dan terpuji.

Nasihat Luqman Hakim kepada anaknya : "Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu."

Maka lakukan taubat segera tanpa tangguh-tangguh kerana hukum melakukan taubat itu adalah wajib. Bertaubatlah sekarang sebelum pintunya dikatup rapat oleh Allah SWT.

Mengikut keterangan hadis Nabi saw, pintu taubat akan ditutup bila terjadinya perkara-perkara berikut :

l. Matahari naik sebelah barat.

Perkara ini dinyatakan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat jahat di waktu malam, membuka tangan selebar-lebarnya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan maksiat waktu siang. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat." (Hadis riwayat Muslim)

2. Apabila nyawa sampai di kerongkong (nazak)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya Tuhan bersedia menerima taubat seseorang hamba selagi nyawanya belum sampai di kerongkong (sebelum nazak)."

Untuk melakukan taubat nasuha, Islam menunjukkan syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyesal dengan perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati, berhenti serta merta melakukan perbuatan itu, berazam tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Jika membabitkan orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

Apabila kita melakukan taubat ikhlas kerana Allah SWT, bermakna kita bersih daripada dosa itu, dipelihara dan dikasihi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Allah SWT juga berjanji akan menempatkan orang bertaubat dalam syurga yang penuh kenikmatan, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Apabila melakukan dosa maka itu akan menyebakan adanya tompok hitam di hati. Apabila bertaubat maka Allah akan menghapuskan tompok hitam tersebut. Tidak bertaubat akan menyebabkan hati menjadi hitam bila banyak tompok hitam di atasnya. Hati yang bertompok hitam akan menghalang hidayah petunjuk Allah sampai ke dalam hati. Kerana itu untuk mendapatkan petunjuk Allah maka hati perlu bersih dan dia boleh dibersihkan melalui taubat.

Oleh itu, marilah kita segera bertaubat dalam mencari keredaan Allah. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang dikasihidan dirahmati Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.

Thursday, November 24, 2011

Makna Hijrah...


Setiap tahun kita akan menyambut tahun baru. Jika mengambil kira pusingan lengkap peredaran bumi mengelilingi matahari maka kita akan menyambut Tahun Masehi. Jika kita mengambil kira pusingan lengkap peredaran bulan mengelilingi bumi sebanyak 12 pusingan maka kita akan menyambut Tahun Hijrah. Jika tahun Masehi mengambil semperna nama Nabi Isa as iaitu Isa al-Maseh dan dikira dari bermulanya tahun kelahirannya maka dari manakah pula nama Hijrah ini muncul sedangkan nama Nabi orang Islam adalah Muhammad bin Abdullah.


Sesungguhnya ‘Hijrah’ bermaksud ‘pindah’. Permulaan menggunakan kalender Tahun Hijrah dilakukan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, iaitu khalifah ke dua setelah Nabi saw wafat. Pengiraan tahun Hijrah diambil semperna peristiwa di mana nabi Muhammad saw berhijrah iaitu berpindah dari Makkah ke Madinah dan ianya dikira dari bermulanya tahun berlakunya peristiwa itu.


Sesungguhnya peristiwa penghijrahan Nabi saw ini membawa makna yang besar kepada orang Islam di mana ianya bukan semata-mata berlaku agar Nabi saw tidak dibunuh oleh kafir Quraisy Makkah tetapi juga sebagai renungan dan pengajaran kepada penganut Islam semenjak berlakunya hijrah itu sehinggalah kepada ketika hampir berlakunya kiamat kelak.


Maka apakah istimewanya Hijrah itu? Kisah Hijrah tidak akan lengkap jika tidak menyentuh tentang perjuangan seorang insan yang bernama Muhammad bin Abdullah, Nabi orang Islam. Mungkin ramai yang mendengar bahawa kononnya Islam ini dikembangkan dengan pedang Baginda? Benarkah? Manakah buktinya? Adakah dengan adanya peperangan di antara orang kafir dengan orang Islam maka itu menandakan bahawa orang Islam itu ganas? Mana logik akal jika penyebab peperangan itu tidak diambil kira? Sekiranya kita dizalimi adakah kita hanya mendiam diri tidak membantah?


Jika orang Islam suka berperang maka mengapa selama 13 tahun mereka hidup dizalimi, diseksa dan dibunuh oleh kafir Quraisy di Makkah, mereka tidak membalas? Mengapa? Adakah mereka begitu lemah hingga tidak mampu membalas perbuatan orang yang melampau ke atas diri mereka. Mereka tidak lemah. Mereka tidak membalas perbuatan orang Quraisy yang menzalimi mereka kerana tiadanya perintah dari Allah, Tuhan mereka, yang membenarkan mereka melawan. Mereka bersabar mengikut perintah Tuhan. Inilah kelebihan orang islam kerana mereka akan membuat apa sahaja mengikut perintah Tuhan mereka walaupun pada awalnya perintah itu kelihatannya akan membinasakan mereka.


Orang Islam berperang setelah mendapat perintah Allah menyuruh mereka berperang bagi mempertahankan diri dari terus dizalimi oleh orang-orang yang zalim itu. Maka setelah 2 tahun Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah maka barulah peperangan berlaku. Sesungguhnya seboleh-bolehnya Nabi Muhammad saw cuba mengelakkan para pengikutnya dizalimi dan dibunuh sewenang-wenangnya oleh orang-orang kafir Quraisy. Oleh itu diperintahkan para pengikutnya di Makkah berpindah ke Madinah, kota yang akan memberikan perlindungan kepada mereka. Dengan melakukan hijrah itu maka mereka dapat mengelakkan diri mereka dari terus dizalimi oleh kafir Quraisy tanpa perlu mereka berperang dengan orang yang menzalimi diri mereka.


Apabila semua para pengikut nabi saw telah sampai ke Madinah dan hanya tinggal mereka yang tidak mampu berpindah maka barulah Allah perintahkan Nabi Muhammad saw pula berpindah. Malangnya tidaklah mudah Nabi Muhammad saw mahu berpindah apabila dia dihadang oleh orang-orang Quraisy yang mahu membunuhnya. Dengan petunjuk dan pertolongan dari Allah maka Nabi Muhammad saw dapat memboloskan diri dari kepungan para pemuda Quraisy yang ditugaskan menetaknya secara serentak dengan pedang masing-masing.


Bersama dengan sahabat karibnya yang paling baginda sayangi maka berjalanlah Nabi Muhammad saw dengan Abu Bakar as-Shiddiq dalam kegelapan malam bagi bersembunyi di gua Thur yang terletak di selatan Makkah sedangkan Madinah di utara Makkah. Jalan yang mereka pilih amat payah memandangkan mereka mengelakkan diri dari bertembung dengan orang ramai.


Ketika dalam perjalanan inilah banyak pertolongan dari Allah telah diberikan kepada kekasih Nya itu sehingga dapat menghalang baginda ditangkap dan dibunuh oleh orang kafir Quraisy yang nekad mahu membunuhnya. Pada 12 Rabiul Awal, baginda sampai di Quba yang tidak jauh dari Madinah. Setelah 3 hari berada di Quba maka baginda meneruskan perjalanan ke Madinah, yang ketika itu dipanggil Yathrib.


Sesungguhnya kedatangan Nabi Muhammad saw amat dialu-alukan oleh orang-orang Madinah. Mereka menunggu kedatangan nabi yang akan membimbing mereka sebaik sahaja mereka mendengar nabi mereka telah bertolak dari Makkah. Setiap hari, sejak subuh-subuh lagi mereka telah menunggu di pintu masuk Madinah tanpa mempedulikan panas terik matahari. Sebaik mereka melihat Nabi saw menghampiri mereka, maka mereka memukul rebana dan menyanyikan lagu alu-aluan bagi menandakan mereka amat gembira menerima kedatangan Nabi saw. Semenjak penghijrahan Nabi saw maka Islam berkembang mekar di Madinah sehingga akhirnya merebak ke seluruh dunia.


Sesungguhnya penghijrahan Nabi saw bersama pengikutnya dari Makkah ke Madinah membawa pengajaran kepada manusia betapa mereka perlu melakukan perpindahan baik secara rohani mahupun jasmani sekiranya dia merasa dirinya dizalimi baik oleh orang lain mahupun oleh dirinya sendiri. Seorang yang menzalimi diri sendiri adalah orang yang tidak mahu mengikut perintah Allah manakala orang yang membiarkan dirinya dizalimi orang lain adalah orang yang tidak boleh melakukan kebaikan kepada dirinya apabila ada orang lain menghalangnya dari membuat kebaikan itu.


Oleh itu, semua orang Islam perlu berhijrah dari keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik dengan niat kerana Allah. Tidak melakukan penghijrahan hanya akan menzalimi diri sendiri baik di dunia mahupun di akhirat. Maka sebaiknya penghijrahan dilakukan bila-bila sahaja apabila sebaik sahaja ada niat mahu berubah. Jangan ditunggu untuk melakukan hijrah pada awal tahun sahaja memandangkan kita tidak tahu sampai bila umur kita ada. Nabi saw pernah mengingatkan para pengikutnya agar berusaha sebaik mungkin baik untuk urusan dunia mahupun akhirat dan perlu berusaha agar hari esok perlu lebih baik dari hari itu. Seorang yang mempunyai hari yang lebih teruk dari semalamnya dikatakan seorang yang celaka.


Maka, Selamat Berhijrah… :-)

Monday, November 21, 2011

Benarkah bulan pernah terbelah dua?


Gambar di atas adalah gambar permukaan bulan yang diambil oleh para angkasawan NASA yang pergi ke bulan. Persoalan masih tidak terjawap mengapakah terdapat permukaanya yang mempunyai garisan yang seakan membelah bulan menjadi dua bahagian. Ada yang mengatakan ianya adalah bekas lava yang terjadi pada dahulu kala. Tapi ada pendapat mengatakan bahawa garisan itu terjadi ketika bulan pernah terpecah dua. Maka bilakah peristiwa berlakunya perpecahan bulan tersebut?

Terdapat satu kisah yang diriwayatkan bahawa bulan pernah terpisah menjadi kepada 2 bahagian ketika zaman Nabi Muhammad saw. Peristiwa berlaku sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad saw berkata benar dan dia adalah Pesuruh Allah. Sesungguhnya orang kafir Quraisy sering mengejek baginda dan sering meminta baginda menunjukkan keajaipan bagi menandakan bahawa baginda sebenarnya Rasul Allah. Mereka meminta sesuatu yang mustahil di antaranya mereka meminta Nabi Muhammad saw membelah bulan.

Mendengarkan apa yang dipinta maka dengan keizinan Allah maka Nabi saw melakukan apa yang disuruh Allah. Ketika tangannya dihalakan kepada arah bulan maka tiba-tiba bulan terbelah menjadi dua bahagian. Satu bahagian bergerak ke timur dan satu bahagian bergerak ke barat. Ke dua-duanya berada dalam keadaan sedemikian selama beberapa minit. Kemudian Nabi Muhammad saw menunjukkan isyarat dengan tangannya agar bulan bersatu semula. Kedua-dua bahagian bulan bergerak perlahan-lahan mendekati di antara satu sama lain lalu bercantum semula.

Peristiwa bulan berpisah menjadi dua bahagian kemudian bercantum semula dilihat oleh semua orang yang berada di Makkah. Dia juga telah dilihat di seluruh dunia apabila ada musafir Arab yang berdagang di China juga dapat menyaksikannya. Malangnya selepas ditunjukkan bukti nyata tetapi tetap sahaja orang kafir Quraisy itu tidak mahu beriman kepada Allah dan nabi Muhammad pesuruh Allah. Mereka tetap menzalimi Nabi saw dan orang-orang Islam di Makkah.

Sesungguhnya benarlah Firman Allah bahawa manusia ini hanya kerana kedegilan mereka sahaja yang menghalang mereka mahu beriman kepada Allah walaupun pelbagai bukti telah ditunjukkan dengan jelas.

Jika dahulunya Allah menunjukkan tanda kebesaran Nya di alam ini secara jelas, kini Allah masih juga menunjukkan tanda kebesaran Nya di alam ini supaya manusia melihat dan memikirkan bahawa segala di alam ini, pemiliknya adalah Dia. Oleh itu, dijelaskan kisah ini di dalam satu-satunya mukjizat Nabi saw yang masih ada kini iaitu al-Quran yang terjamin kesuciannya.

Maka kisah ini dikisahkan sendiri oleh Allah dalam al-Quan, surah al Qamar, ayat 1 -4 , yang bermaksud : "Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Makkah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah). Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran), sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan kufur itu)."

Jika kisah ini adalah karangan Nabi Muhammad saw, yang mengaku diri membelah bulan maka mengapa ada beberapa orang juga telah mendakwa bahawa mereka melihat bulan terpisah dua sedangkan pada waktu itu mereka tidak bersama nabi Muhammad saw. Di antara mereka yang melihat bulan terpisah menjadi 2 bahagian adalah Anas ra.

Maka walaupun apa penyebab berlakunya garisan di permukaan bulan itu maka kita mesti yakin bahawa sesungguhnya bulan pernah terbelah dua. Bulan pernah terbelah sebagai mukjizat Nabi Muhammad saw bahawa dia adalah Pesuruh Allah yang mengajarkan ayat-ayat cinta Allah. Maka tidakkah kita mengakuinya?

Thursday, November 17, 2011

Kuala Lumpur Zaman Dulu-Dulu

Ada orang kata apa ada pada sejarah. Sejarah tak penting? Benarkah? Sesungguhnya sejarah itu penting. Dia mengajar orang dari pengalaman orang terdahulu agar jika ada kesilapan maka kesilapan itu tidak akan dilakukan lagi, jika ada kekurangan maka kekurangan itu akan diperbaiki. Banyak dalam al-Quran mencerita kisah-kisah sejarah. Malaysia juga ada sejarahnya. Mari kita lihat gambar Kuala Lumpur pada suatu masa dahulu. Semoga kita semakin menghargai apa yang ada di sini lalu sentiasa bersyukur kepada Ilahi.

Petaling Street

Setapak

Kampung Meru

Hospital Besar

Jalan Tun Perak

Kuala lumpur 1900

Carcosa Seri Negara

Bukit Aman 1900

stesen kereta api

jalan bukit bintang 1950

cathay cinema

federal store office 1889


Central Market 1890

Dataran Merdeka

masjid jamek 1909

masjid jamek 1920



muzium negara 1950

medan pasar

pudu jail 1896

stesen keretapi 1888

sungai klang 1900

victoria institut

serangan jepun 1943
SUMBER

Mengapa kini orang Yahudi lebih bijak dari orang Islam


Orang Yahudi telah melahirkan ramai bijak pandai bila ada di antara mereka telah diberi anugerah nobel, bila ada di antara mereka bergelar jutawan besar, bila ada di antara mereka menghasilkan barang-barang ciptaan yang mengkagumkan serta disukai ramai. Contoh terkini adalah seorang anak muda Yahudi yang menjadi jutawan dalam usia muda apabila dia mencipta face book yang menjadi kegilaan dunia terkini.

Persoalan terjadi mengapa mereka lebih bijak dari orang Islam. Maka ada cendekiawan Islam telah membuat kajian dan penelitian kepada orang Yahudi ini untuk mengetahui mengapa mereka bijak. Di antara penelitian yang didapati dari kajian mereka ialah :

1. Pasangan suami isteri membuat persediaan awal sebelum zuriat mereka dilahirkan. Sebermula bayi berada di dalam kandungan mereka telah memberi makanan yang terbaik untuk kandungan tersebut dan diberi pendidikan kepada janin tersebut. Si ibu akan mendengar atau memainkan alat-alat muzik dan melakukan latihan matematik bagi melatih otak anaknya. Dia juga akan melakukan pembelajaran bidang-bidang yang lain. Si ibu akan sering makan kacang badam dan kurma bersama susu manakala makanan tengaharinya terdiri dari roti, ikan tanpa kepala, salad, badan dan pelbagai jenis kacang. Semua makanan itu baik untuk perkembangan otak. Kepala ikan dibuang kerana mereka tahu bahawa ianya mengandungi kimia yang tidak baik dan boleh merosakkan pengembangan dan perkembangan otak anak di dalam kandungan. Ibu-ibunya yang sedang mengandung semacam diwajibkan memakan pil minyak ikan.

2. Menjaga pemakanan mereka seharian sebermula dari dalam perut, dilahirkan sehinggalah meninggal dunia. Mereka banyak makan ikan, salad dan kacang. Jika ada ikan maka daging ditiadakan memandangkan memakan ke dua-dua makanan tersebut serentak tidak elok untuk kesihatan diri. Sebelum makan, mereka makan buah-buahan dulu sebelum makan makanan yang lain. Ini elok untuk pencernaan makanan. Memakan buah-buahan selepas makan hanya akan menyebabkan rasa mengantuk dan lemah badan. Hal ini menyukarkan penyerapan ilmu yang diajarkan terutama kepada anak-anak yang bersekolah.

3. Mereka tidak merokok walaupun mereka adalah pengeluar rokok yang terbesar. Mereka akan mengusir orang yang merokok di dalam rumah mereka kerana mereka tahu bahawa asap rokok itu akan menjejaskan perkembangan otak mereka.

4. Mereka mengambil berat kepada anak-anak yang berusia 3-6 tahun apabila anak-anak itu diberi pendidikan awal di tadika dan dijaga dengan baik makanan mereka. Anak-anak itu diberi makan buah-buahan, kacang badan dan pil minyak ikan. Mereka telah di ajar dengan 3 bahasa iaitu Hebrew, arab dan Inggeris. Mereka wajib diajar bermain alat muzik kerana menurut mereka bermain muzik dan memahami nota-notanya akan dapat meningkatkan lagi IQ kanak-kanak. Dengan penjagaan yang diberi maka mereka berharap agar kanak-kanak itu akan menjadi seorang yang bijak.

5. Mereka sukakan muzik di mana menurut saintis Yahudi, gegaran muzik dapat memberi gerakan senaman kepada otak dan kerana itu ramai cerdekpandai muzik berasal dari orang Yahudi.

6. Anak Yahudi dari darjah 1-6 akan diajar matematik berkonsepkan perniagaan manakala pelajaran sains amat diberi keutamaan. Dengan penjagaan awal yang diberikan maka mereka mudah memahami pelajaran yang diberi. Sukan juga diwajibkan terutamanya memanah, menembak dan berlari. Mereka mengatakan dengan selalu membuat latihan memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus kepada sesuatu perkara di samping mempermudahkan persiapan untuk berkhidmat dengan negara.

7. Anak-anak Yahudi yang bersekolah menengah akan ditekankan dengan mata pelajaran sains dan mereka digalakkan mencipta produk. Segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi bila ianya berupa senjata, perubatan dan engineering. Segala idea remaja itu akan dibawa ke institut tinggi di Politeknik atau ke Universiti mereka.

8. Orang Yahudi amat menitik beratkan perniagaan juga. Mereka begitu agresif dan serius dengan perniagaan. Para pelajar akhir bidang perniagaan di universiti mereka diwajibkan melakukan projek perniagaan. Setiap kumpulan yang terdiri dari 10 orang pelajar hanya akan lulus pengajian sekiranya mereka tidak mendapat keuntungan sebanyak $US1juta. Dengan latihan yang diberi maka selayaklah ramai yahudi memiliki perniagaan besar dan menguasai perniagaan dan ekonomi dunia.

9. Orang Yahudi banyak mengerakkan kepala termasuk ketika mereka beribadah. Dengan melakukan demikian maka dia mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen ke kepala.

10. Orang yahudi hidup berkerja sama. Dengan berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu orang yahudi yang berminat untuk melakukan bisnes jika mereka ada idea yang bernas. Jawatan kuasanya akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama memastikan bahawa perniagaan itu berada dalam keadaan yang baik. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell computer, Coca Cola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York ini. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar di persatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah.

Dari contoh yang di bawakan ini maka seorang Islam akan sedar bahawa cara hidup orang ini sebenarnya juga telah terkandung di dalam ajaran Islam dan telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw. Semua itu telah dilakukan oleh Nabi orang Islam tetapi tidak ramai orang Islam melakukannya. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu akan ilmu itu atau mereka malas atau mereka tidak yakin dengan ilmu Islam. Oleh itu akibat tidak mempraktikkan ajaran Islam sebagaimana yang diajar dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw maka orang Islam semakin lemah, bukan sahaja fizikal tetapi juga minda.

Oleh itu untuk mendapatkan hasil sepertimana orang Yahudi maka tidaklah boleh orang Islam berdiam diri dan tidak melakukan pembaikan kepada generasi yang bakal mereka lahirkan. Mereka perlu mendekatkan diri dengan lebih rapat lagi dengan al-Quran dan melakukan semua saranan yang diberi baik dari dalam al-Quran mahupun melalui sunah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw. Sesungguhnya kita akan kembali cemerlang di dunia dan akhirat sekiranya kita rapat dengan Allah saw, InsyaAllah.

Sesungguhnya kejayaan tidak akan terhasil dalam sehari. Maka bergerak hari ini akan mendapat hasilnya di kemudian hari. Beristiqomahlah dengan ajaran Islam. Semoga kita dapat melahirkan manusia yang bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.