Search This Blog

Tuesday, December 6, 2011

Pemanasan Global mengakibatkan bencana besar

Hari kiamat berlaku apabila Tuhan murka kepada manusia apabila manusia membuat kerosakan di atas muka bumi terutama mengingkari perintah Nya. Tiadalah Hari Kiamat itu berlaku secara tiba-tiba. Dengan kasih sayang Tuhan maka diberitahu Nya akan adanya murka Nya kepada manusia melalui alam ini. Pemanasan Global adalah salah satu tanda menjelang hari akan kiamat . Berikut adalah 10 bencana disebabkan oleh Pemanasan Global.


1. Ais mencair - Kutub utara dan selatan yang merupakan daratan yang dibuat dari ais akan mencair secara besar-besaran apabila suhu bumi kini bertambah panas. Ais di puncak gunung yang tinggi juga akan mencair. Pada tahun 1990- 2005, suhu bumi naik 0.15 - 0.3 darjah Celcius. Pencairan ais menyebabkan paras air laut semakin meningkat.


2. Pulau Tenggelam - Akibat pencairan ais yang menyebabkan paras air laut meningkat telah menyebabkan beberapa buah pulau di Indonesia, Amerika Syarikat dan Bangladesh mengalami ancaman akan tengelam. Terdapat beberapa buah pulau di Indonesia telah tenggelam dan hilang dari permukaan laut. Selain dari pencairan ais, faktor lain yang menyebabkan aras laut naik juga disebabkan semakin kurangnya hutan yang dapat menahan air dari terus lari masuk ke laut. Jika suhu bumi terus meningkat, menjelang tahun 2050 banyak tempat akan hilang dan ada terendam dengan air.


3. Banyak berlaku ribut dan puting beliung - Ribut sememangnya adalah kejadian alam yang biasa berlaku. Malangnya apabila bumi semakin panas maka tekanan bumi berada dalam keadaan tidak seimbang sehingga menyebabkan ribut atau puting beliung berlaku secara tiba-tiba. Oleh itu banyak kejadian ribut dan puting beliung telah berlaku di tempat yang dulunya tiada. Sehingga kini banyak ribut besar telah melanda negara-negara di Eropah, Amerika dan seluruh dunia sehingga merangut banyak nyawa di antarannya ribut Katrina dan ribut Ike dan ribut Rita.


4. Gelombang Panas - Pada tahun 2003, Eropah telah diserang gelombang panas atau heat wave. Kejadian ini telah meragut ramai nyawa manusia. Bencana ini sudah dijangkakan oleh para ilmuwan sejak tahun sejak tahun 1900 lagi. Gelombang panas memang pernah terjadi beberapa kali di bumi ini namun kebelakangan ini kejadiannya semakin sering terjadi. Dalam kiraan para ilmuan, 40 tahun lagi frekuensinya akan meningkat sebanyak 100 kali lipat.


5. Kekeringan yang melampau di Afrika, India dan daerah-daerah kering lainnya - Daerah yang dilanda panas ini akan menyebabkan para penghuninya menderita kekeringan dan tiada bekalan air minum. Bintatang ternakan dan tanaman pertanian tidak dapat diusahakan sehingga mengakibatkan mereka juga mengalami krisis makanan. Menurut perkiraan, hasil tani negara-negara Afrika akan menurun 50% di tahun 2020 dan tingkat kekeringan di dunia meningkat 66% .


6. Perang banyak berlaku - Apabila keadaan fizikal semakin menekan maka manusia berubah menjadi panik lalu tidak berfikir panjang melancarkan serangan kepada individu yang lain atau negara yang lain. Ada di antara mereka berperang dengan sebab yang tidak jelas atau sebab kecil sahaja. Terdapat negara yang mahu menjajah negara lain sebab tamak dan gilakan harta dunia.


7. Penyakit bermaharaja lela - Akibat kekurangan makanan dan minuman maka kesihatan manusia merundum apabila daya ketahanam diri mereka berkurang atau telah tiada lagi. Selain itu akibat agama tidak dipegang kuat telah menyebabkan manusia terjebak dalam cara hidup yang tidak sihat sehingga menyebabkan penyakit merbahaya umpamanya Aids merebak cepat. Banjir yang melanda disebabkan kenaikan paras laut juga telah menyebabkan penyakit mudah menular bukan sahaja di kawasan tropika tetapi juga kawasan yang beriklim sejuk.


8. Ekosistem porak peranda - Perubahan iklim yang terjadi akibat pemanasan global akan menyebabkan ekosistem yang ada menjadi kucar kacir. Sebahagian makhluk hidup di bumi musnah akibat bencana kekeringan, banjir, ribut atau ditenggelamkan air laut. Makhluk yang masih hidup pula akan mengalami kesulitan untuk terus hidup. Penyebabnya adalah berkurangnya sumber air, udara bersih, bahan bakar, sumber tenaga, bahan makanan, obat-obatan dan lain-lain keperluan yang diperlukan untuk terus hidup.


9. Makhluk hidup banyak mati - Sebanyak 30% makhluk hidup yang ada kini bakal musnah menjelang tahun 2050 sekiranya suhu bumi terus naik. Spesies yang pupus kebanyakan yang tinggal di tempat yang beriklim sejuk. Haiwan-haiwan laut banyak mati apabila suhu air laut meningkat menjadi lebih panas sehingga mereka tidak tahan lalu mati. Sekiranya tumbuhan dan haiwan semakin berkurang, maka manusia juga akan terjejas dan terancam apabila keperluan untuk mereka hidup semakin berkurangan.

10. Ekonomi dunia menjadi kacau bilau - Apabila makanan dan segala keperluan manusia semakin berkurang maka ekonomi dunia menjadi tidak stabil. Bukan sahaja iklim menekan mereka bahkan mereka juga menekan di antara mereka sendiri apabila perang berlaku di mana-mana. Segala keperluan sukar didapati dan menyebabkan harganya melambung naik. Manusia yang menghadapi penyakit dan lemah tidak mungkin dapat bertahan lama dan tidak mungkin dapat membangunkan ekonominya semula. Mereka yang kaya akan menindas yang miskin. Tempat yang dilanda bencana alam sukar mahu dipulihkan semula. Oleh itu, di kala itu dunia menjadi huru hara bila undang-undang Tuhan semakin ditolak ketepi.

Kini dunia semakin mengalami pemanasan global. Manusia pula semakin membutakan mata dan memekakkan telinga apabila mereka semakin rakus menggondolkan bumi dari pokok-pokok yang ada tanpa menggantikannya dengan yang baru dan mengeluarkan gas yang tidak sesuai untuk alam. Sekiranya mereka taat kepada Tuhan iaitu Allah pemilik sekalian alam ini pasti mereka akan berbuat baik kepada alam ini dan tiadalah berlakunya pemanasan global ini. Maka tidakkah kita ini manusia yang berfikir?

Ayat cinta Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud : "Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya. Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: “Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?” (Bagi menjawab mereka, Nabi Muhammad) berkata: “Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan (yang dilahirkan atau disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan di bumi; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

No comments:

Post a Comment