Search This Blog

Saturday, November 12, 2011

Mengapa ajaran al-Quran boleh menengangkan...


Dalam ajaran Islam, ilmu adalah penting bagi setiap individu dan sistem masyarakatnya di mana al-Qur’an menyebutnya lebih 800 kali. Ilmu terdiri dari ilmu wahyu iaitu ilmu agama berteraskan wahyu Allah (s.w.t.) dari al-Qur’an serta al-Sunah, ilmu ilham iaitu ilmu wahyu yang dimiliki oleh manusia yang mendampingi rapat Allah (s.w.t.) dan ilmu empirikal iaitu ilmu yang ditanggapi oleh pancaindera zahir.

Akal secara mutlak tidak diterima sebagai sumber ilmu di mana ilmu ilham yang dianugerah Allah (s.w.t.) kepada hamba Nya terpilih boleh didapati apabila mereka menumpukan segala perhatian kepada alam dengan nafsu serta perasaan terkawal, bebas daripada pengaruh deria batin dan zahir hingga berlakunya hubungan jiwa dengan alam tinggi.

Amalan hidup kini meletakkan kemajuan kebendaan sebagai asas kejayaan masyarakat bercanggah dengan amalan Rasulullah (s.a.w.) yang meletakkan sistem masyarakat di atas dasar ajaran Islam. Masyarakat Islam mempunyai sistem kehidupan sempurna sejak Rasulullah (s.a.w.) menerima wahyu pertama di Gua Hira’, Mekah pada 17 Ramadhan (6 Ogos 610 Masehi).

Kegemilangan sistem ajaran Islam terbukti bila penganut Islam pernah mempunyai tamadun merangkumi kemajuan kebendaan dan rohani di dalam kepatuhan berserah diri kepada Allah (s.w.t.). Ini berlaku kerana penganut Islam mendokong ajaran Islam berpandukan al-Qur’an ketika meyakini sesuatu perkara dan ketika membuat keputusan dalam melakukan pengabdian diri kepada Allah (s.w.t.).

Ajaran Islam yang mementingkan hubungan manusia dengan Allah (s.w.t.) dan alam menekankan manusia berakal tidak boleh hidup sendirian dan perlu mengawal menundukkan makhluk lain serta menjaga alam supaya sistem ekologinya tidak terganggu. Untuk kesenambungan hidup manusia di alam, mereka perlu bimbingan dan tunjuk ajar dari Penciptanya melalui kitab al-Qur’an yang menyentuh seluruh aspek kehidupan manusia, sesuai untuk semua manusia di semua tempat, tetap, anjal, ideal dan realistik.

Manusia perlu mengkaji dan meneliti supaya dapat membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan. Sistem Islam meletakkan agama sebagai kemajuan rohani menggunakan nilai ilmu dan pemikiran dalam menentukan tindakan dan perlakuan manusia. Ia membenarkan atau menidakkan ilmu mengikut nilai wajib, sunat, harus, makruh dan haram dalam mendasari nilai sistem manusia terutama nilai sosial dan moral. Gagal mengikutinya menyebabkan manusia hilang ketenangan, kesejahteraan dan keselamatan.

Konsep sistem kehidupan masyarakat penganut Islam bersifat kerohanian berTuhan berbeza konsep falsafah Barat yang mementingkan aspek kebendaan dan membelakangkan aspek keTuhanan. Dengan adanya konsep Islam yang menyatakan kebendaan adalah alat untuk mendekati Allah (s.w.t.) dan bukanlah kebendaan itu menjadi matlamat utama untuk hidup, maka penganut Islam mempunyai jiwa lebih tenang bila mereka tidak perlu bersaing tetapi perlu saling bantu membantu bagi mendapatkan kebendaan.

Al-Qur’an menyarankan manusia mengkaji, meneliti, memerhati, memikir dan menganalisis kesepaduan ilmu terutama mengenai konsep ketauhidan dan ketakwaan. Undang-undang Tuhan diturunkan bagi membolehkan manusia hidup bahagia tanpa persengketaan di mana setiap individu perlu berbaik sangka dan mempunyai hati yang mulia.

Konsep kemasyarakatan Islam meletakkan seluruh manusia setaraf dari sudut nilai di mana tiada keutamaan bagi sesuatu bangsa dalam soal pemberian hak. Setiap individu mempunyai kelayakan peluang dan hak yang sama. Dengan undang-undang berdasarkan al-Qur’an, pelaksanaan undang-undang adalah adil di mana keadilan berlaku apabila setiap individu mempunyai haknya memandangkan ia ciptaan Allah (s.w.t.), bukan dicipta oleh manusia yang berkepentingan.

Keadaan dunia hari ini di mana penganut Islam tinggal bersama mereka yang bukan Islam, menyamai keadaan semasa Rasululullah (s.a.w.) berhijrah ke Maidinah. Namun pada waktu itu, individu Islam mendukung kuat Islam sebagai cara hidup, pemimpin melaksanakan undang-undang serta hukuman Islam dan individu bukan Islam tunduk patuh kepada undang-undang Islam. Kecuaian manusia memenuhi hak Allah (s.w.t.) dan hak alam tanpa mengikut undang-undang Allah (s.w.t.) menyebabkan berlakunya krisis yang mengkucar-kaciran alam hingga menghilangkan ketenangan diri kebanyakan penduduk dunia. Oleh itu gunakanlah ajaran al-Quran untuk mendapat ketenangan di dunia dan diakhirat. Kegagalan melakukannya hanya akan menyebabkan diri terus berada dalam keadaan stress dan semakin stresss..

No comments:

Post a Comment